Jumaat

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat)

Surah Al Jumua'h: 9


Menyambut Ketibaan Hari Jumaat

Sebaik sahaja azan solat Maghrib dikumandangkan sebagai tanda masuknya malam Jumaat, maka segeralah kita menyambutnya dengan penuh gembira dengan ucapan yang diajar oleh baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dari Anas Bin Malik r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam akan berdoa apabila tiba malam Jumaat dengan;

“Inilah Malam Yang Penuh Mulia Dan Hari Yang Penuh Indah”
(Hadis Riwayat Al Bazzar)
*rujuk Kitab Kasyful Astar Jilid 1 : m/s 295*
*rujuk kitab Majma' al Zawa'id Juz 2 : m/s 165*
*rujuk Kitab Al Lum'ah: Hadis 175 : m/s 101*


Kemudian pergi ke masjid atau surau untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah sambil membaca doa ini, kerana faedahnya ialah didoakan rahmat oleh 70,000 malaikat:

“Ya Allah, dengan kebenaran orang-orang yang memohon kepadaMu, dengan kebenaran perjalananku ini, sesungguhnya aku keluar bukan kerana bongkak dan sombong, dan bukan kerana menunjuk-nunjuk dan untuk dipuji orang, aku keluar semata-mata untuk menghindari kemurkaanMu, oleh itu aku memohon kepadaMu agar Engkau melindungiku daripada api neraka dan Engkau mengampunkan segala dosaku, sesungguhnya tidak ada sesiapa lagi yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau”
(Hadis Riwayat Ahmad)


Solat Maghrib - Surah Al Kafirun (109) dan Surah Al Ikhlas (112)

Dari Samurah Ibn Jundub, katanya:

“Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam akan membaca Surah al Kafirun dalam Rakaat Pertama, dan Surah Al Ikhlas dalam Rakaat Kedua di dalam solat Maghrib pada malam Jumaat dan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam solat Isyak membaca Surah Al Munafiqun (63).”
(Hadis Riwayat Al Baihaqi)


Banyakkan Bacaan Selawat Ke Atas Nabi Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam

Sepertimana saranan di dalam al Quran iaitu,


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً 
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi (Muhammad). Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi (Muhammad) dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya” 

Surah Al Ahzaab: 56


1- Adab berselawat kepada Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah: 
2- Membersihkan diri (berpakaian kemas) 
3- Berwuduk 
4- Menghadap Kiblat 
5- Bertafakur berkaitan zat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia, semoga kita dilimpahi kurnia oleh Allah dan tercapai cita-cita kita 
6- Membaca dengan tartil huruf-hurufnya 
7- Tidak membaca dengan gopoh dan gelojoh 


Dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“banyakkanlah membaca selawat ke atasku pada malam Jumaat yang penuh mulia itu dan siang Jumaat yang penuh indah itu, kerana selawat kamu ketika itu diperhatikan kepadaku”
(Hadis Riwayat Al Tabrani)


Dari Abu Umamah al Bahili r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“banyakkan berselawat ke atasku pada setiap Jumaat, maka siapa yang paling banyak berselawat ke atasku maka dialah yang paling dekat kedudukannya denganku”
(Hadis Riwayat Al Baihaqi)


Membaca Surah Al Kahf (18)


Dari Abu Darda r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Jika sesiapa belajar dengan 'mata hati' dalam 10 ayat pertama Surah Al-Kahf, dia akan terlindung dari fitnah Dajjal"
(Hadis Riwayat Muslim)


Dari Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat, maka terbitlah cahaya dari bawah kakinya mencecah hingga ke langit tinggi meneranginya pada hari kiamat dan dia akan diberi keampunan (terhadap dosanya) di antara dua Jumaat” 
(Hadis Riwayat Ibnu Katsir)


Dari Abu Said Al-Khudri r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat, maka dia akan mendapat cahayanya di antara tempatnya dengan Kaabah”
(Hadis Riwayat Al Darimi)


Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat maka dia diberi cahaya yang menerangi antara dua Jumaat" 
(Hadis Riwayat Al Baihaqi, At-Tabrani, An-Nasai dan Hakim)


Dari Ali Bin Talib r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Barangsiapa membaca Surah Al-Kahf pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya”. 
(Hadis Riwayat Al-Albani: Al-Dhurr al-Manthur oleh Al-Suyuti 5:355)


Dari Abu Darda' r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Barang siapa membaca 10 ayat terakhir dari surat Al-Kahf, maka ia terlindung dari fitnah Dajjal." 
(Hadis Riwayat Ahmad)


Dari An Nawwas bin Sam'an Al Kilabi r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Jika saat Dajjal keluar aku masih bersama kalian maka akulah yang akan melindungi kalian darinya. Namun jika ia keluar dan aku tidak lagi bersama kalian, maka setiap orang harus melindungi dirinya sendiri. Allah Subhanahu Wa Ta'ala adalah pelindung bagiku dan setiap muslim. Barang siapa di antara kalian berjumpa dengannya, hendaklah ia bacakan awal surat Al-Kahf, sebab itu akan melindungi kalian dari fitnahnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Membaca Surah Ad Dukhan (44)

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
"Sesiapa membaca surah Ad Dukhan pada malam Jumaat nescaya diampunkan baginya"
(Hadis Riwayat at Tirmizi)

Dari Abi Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
"Sesiapa membaca surah "Haamim Ad Dukhan" pada waktu malam Jumaat, maka dia diberi keampunan baginya."
(Hadis Riwayat Ibnu Katsir & Al Baihaqi)


Dari Abu rafi r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
"Sesiapa membaca surah ad Dukhan pada malam Jumaat nescaya berpagi-pagi ia dalam keampunan Allah dan dikahwinkan kelak dengan bidadari syurga"
(Hadis Riwayat Al Damiri)


Membaca Surah al Baqarah (2) dan Surah Ali Imran (3)

Dari Abdul Wahid bin Aiman, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
"Sesiapa membaca surah al Baqarah dan Ali Imran pada malam Jumaat nescaya adalah baginya pahala sebanyak jarak di antara Labida dan 'Aruya"
(Hadis Riwayat Al Ashbihani)

*Labida adalah bumi yang ketujuh dan 'Aruya adalah langit ketujuh*

Dari Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
"Sesiapa membaca surah yang disebut di dalamnya keluarga Imran (Surah Ali Imran) pada hari Jumaat nescaya Allah akan melimpahkan rahmatke atasnya dan para malaikatNya juga mendoakan rahmat untuknya sehingglah terbenam matahari"
(Hadia Riwayat Al Thabrani)


Membaca Surah Hud (11)

Dari Ka'ab r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Bacalah oleh kamu surah Hud pada hari Jumaat"
(Hadis Riwayat Al Damiri)


Solat Sunat Menghafal Al Quran




Ia disunatkan bagi mereka yang ingin menguatkan hafalan Al Quran dengan mengerjakan solat sunat 3 kali Jumaat atau 5 kali Jumaat atau 7 kali Jumaat, cara mengerjakannya adalah seperti berikut:

Lafaz niatnya:
"Sahaja Aku Solat Sunat Menghafal Al Quran 4 rakaat kerana Allah Ta'ala"

Rakaat Pertama selepas membaca Al Fatihah hendaklah membaca surah Yaasin (36)
Rakaat Kedua selepas membaca Al Fatihah hendaklah membaca surah Ad Dukhan (44)
Rakaat Ketiga selepas membaca Al Fatihah hendaklah membaca surah As Sadjah (32)
Rakaat Keempat selepas membaca Al Fatihah hendaklah membaca surah Al Mulk (67)

Selepas memberi salam, lakukan seperti berikut:

1. Memuji Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan membaca wirid sebanyak 10 kali
2. Berselawat ke atas Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebanyak 10 kali
3. Membaca istifar untuk sekalian mukmin dan mukminat serta saudara-saudara kita yang telah meninggal dunia sebanyak 10 kali.


Solat Sunat mudahkan Sakaratul Maut, Dilindungi Seksa Kubur dan Mudah Meniti Sirat

Dari Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa yang solat selepas Maghrib dua rakaat pada malam Jumaat dengan membaca dalam setiap rakaat darinya surah Al Fatihah sekali dan Surah Al Zalzalah 15 kali nescaya Allah memudahkan sakaratul maut keatasnya, melindunginya daripada seksaan kubur dan memudahkannya melintasi sirat al Mustaqim pada hari qiamat kelak"
(Hadis Riwayat Al Ashbihani)


Solat Sunat Untuk Bermimpi Melihat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam

Dari Muhammad bin 'Ukasyah bin Hammad Al karmani daripada al Zuhri katanya:

"Sesiapa yang mandi pada malam Jumaat kemudian solat sunat dua rakaat dengan membaca Surah Al Ikhlas sebanyak 1000 kali, nescaya ia bermimpi melihat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam"
(Hadis Riwayat Ibnu ' Asakir: Kitab Al Lum'ah, Hadis: 223, m/s 121)
*Yakni membaca Surah Al Ikhlas sebanyak 500 kali bagi setiap rakaat*


Amalan Sebelum Solat Jumaat

1. Pergi Awal ke Masjid

Dari Abu Hurairah r.a.,Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam

"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat kemudian dia pergi ke masjid pada jam yang pertama untuk solat Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cara Mengira Jam Pertama
Sekiranya waktu Zohor masuk pukul 1.00 pm maka kiralah 5 jam yang pertama sebelum pukul 1.00pm. 

Contohnya:

Jam Pertama : 8-9.00am
Jam Kedua : 9-10.00am
Jam Ketiga : 10-11.00am
Jam Keempat : 11-12.00pm
Jam Kelima : 12-1.00pm


2. Mandi Sunat Jumaat, Memakai Wangian dan Bersugi

Dari Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam

"Sesungguhnya hari ini adalah hari raya yang dijadikan oleh Allah untuk kaum Muslimin, oleh itu sesiapa yang datang hendak menunaikan solat Jumaat maka mandilah terlebih dahulu, dan jika ada mempunyai wangian maka pakailah, dan hendaklah kamu bersugi"
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dari Aisyah r.h.a.
“Sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam
"Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk"
(Hadis Riwayat Ahmad )

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
“Sebaik-baik wangian adalah minyak kasturi”
(Hadis Riwayat Muslim)


3. Memakai Pakaian Khas
Dari Jabir Bin Abdillah r.h., katanya Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam memiliki beberap jubah yang dipakainya pada waktu hari raya Aidil Fitri dan hari Raya Aidil Adha dan Solat Jumaat
(Hadis Riwayat al Baihaqi)


4. Berwuduk dengan Sempurna
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa yang berwuduk pada hari Jumaat dan ia mempereloknya, lalu pergi menunaikan solat Jumaat, kemudian ia memasang pendengarannya (ketika Khutbah) dan berdiam diri, maka diampunkan baginya di antara hari itu dengan hari Jumaat berikutnya dan ditambah lagi tiga hari (jadinya 10 hari) dan sesiapa yang menyentuh (bermain-main) batu kerikil maka benar-benar ia melakukan perkara lagha (sia-sia)"
(Hadis Riwayat Muslim)


5. Memakai Serban
Dari Abu Dardak r.h., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas hamba-hambaNya yang memakai serban pada hari Jumaat"
(Hadis Riwayat al thabrani)


6. Berdoa Di Pintu Masjid
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam apabila masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat Baginda memegang kedua-dua daun pintu lalu berdoa::

"Ya Allah, jadikanlah daku setumpu-tumpu orang yang bertawajuh (menghadap) kepadaMu, sedekat-dekat orang yang mendekatkan diri kepadaMu, dan semulia-mulia orang yang memohon kepadaMu dan berdoa mengharapkan rahmatMu"
(Hadis Riwayat Ibnu Al Sunni)
*rujuk Kitab Al Lum'ah : Hadis 209 : m/s : 115*



7. Solat Sunat 4 Rakaat
Dari Ibnu Umar r.h., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa yang masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat lalu mengerjakan solat 4 rakaat dengan membaca pada tiap-tiap rakaat surah al Fatihah dan surah al Ikhlas sebanyak 50 kali sehingga sempurna 200 kali dalam 4 rakaat, nescaya tidak mati sehingga ia melihat tempat duduknya di dalam syurga atau diperlihatkan untuknya"
(Hadis Riwayat Al Daruqut)
*rujuk Kitab Al Lum'ah : Hadis : 226 : m/s : 122*


Amalan selepas Solat Jumaat
Dari Ibnu Syihab katanya:

"Sesiapa yang membaca Surah Al Ikhlas, Al Falaq, dan An Nas sebanyak 7 kali ketika Imam selesai mengucapkan salam sebelum ia berbual nescaya dirinya, hartanya dan anaknya di bawah jaminan Allah bermula dari hari Jumaat itu sehinggalah ke hari Jumaat berikutnya"

(Dikeluarkan oleh Imam Humaid bin Zanjawaih di dalam kitabnya, 'Fadhail al A'mal', rujuk Al Lum'ah, No. 93, m/s 55)


Sesungguhnya telah diriwayatkan daripada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, sabdanya:

"Sesiapa membaca surah Al Fatihah, Al Ikhlas, Al Falaq, dan An Nas sebanyak 7 kali setelah Imam mengucapkan salam dari solat jumaat sebelum ia melipat kedua kakinya (tetap dalam keadaan tahiyat akhir) nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang, dan juga dikurniakan pahala oleh Allah sebanyak bilangan orang-orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat"

(Kata al Hafiz Ibnu Hajar, demikianlah yang diriwayatkan oleh Abu Al As'as al Qusyairi. Rujuk Kitab Syaraful Ummah Al Muhammadiyah karangan Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki, m/s: 194. Cet. 2 Tahun 1985M-1405H)

ini adalah sebahagian amalan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dituntut terhadap umat Islam pada malam Jumaat dan hari Jumaat sebagaimana ia adalah Penghulu Segala Hari yang sepatutnya diraikan..Sama-sama lah kita berusaha sebaik mungkin untuk mengamalkan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam kehidupan ini supaya kita akan lebih mendekati Islam dan mencintai Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, insha Allah akan dikemaskini lagi..